Tuesday, February 21, 2023

Selamat datang umur 30, selamat jalan realiti

 Secara sahih dan siddiq, umur sudah melewati pangkal 3 yang manis. Terbit rasa sedih, hiba dan diselit rasa gembira - semua perasaan ini bergaul mesra sebati bersama. Terima kasih Ya Allah untuk diberikan kesempatan menikmati kurniaan hidup yang tidak boleh diganti beli

Walau bagaimana aku berusaha untuk meraikan umur manis ini dengan penuh syahdu, realiti seakan tidak mahu kedamaian. Kan ku bilang, jangan sesekali ubah rancangan hidup kita, sekarang lihat siapa yang terduduk, meminta dikembalikan rasa itu.

Manusia itu lemah dan senang dibolak-balikkan jiwanya. Sudah ku bilang jangan dikongsi rasa. Nah, buat kali kedua rasa itu dimatikan begitu sahaja. Salah diri sendiri kerana yakin susuk tubuh kali ini mungkin berbeza. Salah kamu kerana berfikir menggunakan jiwa, bukan kepala. 

Yang arif mengenai rasa, pasti tahu bagaimana perasaan bila kita percaya pada orang asing dan kemudiannya disisakan. Bagaimana rasanya disogokkan harapan yang kemudiannya menjadi sisa abu. Kamu yang beri aku kesempatan untuk memasang impian. Acap kali impian itu diceritakan pada sepasang mata yang naif ini. Dan setiap kali itu lah, jiwa itu dibeli dengan penuh yakin. 

Mengapa realiti seakan tidak mahu kedamaian?

Nampaknya, kehidupan kita tidak bermula pada umur 30. Sayang sekali, hidup kita tamat di sini. Teriak lah sekuat mana pun, kehidupan kita perlu diteruskan. Berjalan lah sejauh mana pun, kaki itu perlu pulang pada rumah kembali.

Ah, rumah..

Satu perkataan adjektif yang tidak membawa sebarang makna. Dimana rumah kita? Jika rumah tempat untuk bersandar, mengapa rumah ku runtuh? Jika rumah itu 4 dinding yang utuh untuk bersandar, dimana atapnya untuk bertedeuh dari badai hujan? Pulang, pulang kemana kita?

Tiada daya lagi untuk dibaiki rumah yang makin runtuh. Sekuat mana pun kita pertahankan tiang seri, kalau tidak mendapat sepakat bersama, pasti ranap juga. 

Perempuan, jangan sesekali kita merendahkan maruah diri kita. Jika tidak diperlukan lagi di sesuatu rumah, keluar lah dan carilah tempat berteduh yang lain. Tidak perlu merintih meminta nasib, perasaan tak akan boleh diubah. Berhenti lah berharap pada sesuatu yang tidak pasti.

Sudah dibilang, jangan menjadi hamba perasaan. Tapi kita perempuan secara harfiah dilahirkan penuh dengan rasa; kita adalah pendamai yang punya banyak perasaan untuk diberi. Tapi begini lah terjadi jika diberikan semuanya. Nah, jalan pulang pun sudah tidak diingat lagi. Apa yang tinggal pada jiwa mu?

Teriak lah sekuatnya, lepaskan segalanya, keringkan mata mentah mu yang senang diperdaya, hidup perlu diteruskan. Kita baru menginjak umur 30, sayang. Jalan hidup kita masih jauh, InsyaAllah. Ini bukan mimpi, ini realiti. Terima lah realiti ini dengan dada yang lapang. 

Jangan lagi kita kongsi rasa pada orang ya. Sudah-sudah lah sakiti jiwa sendiri. Jadi, kali ini berapa lama tempoh yang diambil untuk kembali damai? Kalau dahulu 5 tahun, kali ini mungkin untuk selamanya. Kehidupan ini tidak kejam, kamu yang kejam. Sudah diberitahu hidup kita begini begini, masih mahu dibiarkan diri hanyut pada arus yang berlawanan. 


Teriak lah semahu mu, tapi jangan lupa untuk kembali, ya.