Wednesday, September 27, 2017

Perempuan itu

Menjadi perempuan itu perlukan kamu untuk kuat seperti besi. Menjadi perempuan itu tidak semata lembik dan bisu. Pembawaan jantina perempuan itu tidak sepatutnya dipertontonkan seperti mana yang mata-mata iblis itu mahukan.

"Perempuan itu sikapnya lembut, langkahnya teratur, pergerakkan jarinya penuh gemalai seakan menatang kaca. Begitu lah perempuan yang sebenar."

Ini salah satu dialog yang diekpresi oleh sang datuk pada cucunya. Aku lupa tajuk filem atau buku apa yang dibaca. Karakter yang lembut itu bukan masalahnya di sini. Tapi yang buat aku memikir-mikir adalah perempuan yang bersandar secara total pada sang laki.

Kita, kalau dari awalnya sudah biasakan diri untuk mengharap pada orang, maka selamanya lah begitu. Untuk capai kemajuan diri, perlunya bergerak pada momentum diri sendiri. Mungkin pelincirannya mengalir lancar dan pantas atas pertolongan lain, tetapi diri sendiri itu yang perlu mulakan.

Perempuan, menjadi perempuan itu perlukan kamu untuk bijak mengatur hidup. Bijak berkata yang absah dan bukan bermuka-muka. Menjadi perempuan itu perlukan kamu untuk punyai hati yang tabah serta perilakunya tidak terhambat dek kata-kata orang. Persepsi orang tidak sebenarnya selalu sahih, jadi sahajalah perempuan yang kamu mahukan.

Interpretasi, deskripsi dan arti perempuan itu kamu sahajalah yang tetapkan. Jadi mahu jadi perempuan yang gimana?