Wednesday, December 27, 2017

Mencari fonetik yang merdu

Diselak selembar demi selembar halaman buku lama. Tidak disangkakan buku usang itu masih ada tersimpan rapi disebalik naskhah sajak-sajak lama Muhammad Haji Salleh, A. Samad Said dan teman seangkatan mereka Usman Awang. 

Disebalik lembaran lama itu terkandung kata-kata berselirat mencari makna tunggal. Terlampau hiba anak ini. Pilihan katanya itu begitu besar sehinggakan yang membacanya merasa jiwa mereka kecil. Kecil dengan rasa.

Sedikit canggung untuk meletakakan diri sebagai "penulis" kerna terma itu terlampau mendukung peribadi sosok tubuh seorang pengkarya yang disegani dek ilmunya yang melimpah. 

Izinkan untuk ku gunakan sebagai pencari fonetik yang merdu. Mereka yang giat berkarya tidak akan pernah sekali merasa puas dengan apa yang dihasilkan.Tangan itu akan ligat menyimbah kata-kata sehingga helaian kertas itu penuh dengan dakwat. Jika keratan karya itu dibiarkan bersama selama 3 tahun tanpa difinalize-kan, ku pasti setiap hari akan terbangun lewat subuh kerana baru mendapat ilham baru. Walaupun ilham yang diturunkan itu hanyalah untuk mengubah satu perkataan sahaja, dari koma kepada noktah, dari kata pasif kepada aktif. 

Makin dicuba untuk dipercantikkan dan diperhalusi tulisan itu, tidak kita sedar ianya makin candal. Kerana itu penting untuk bersederhana. Tapi kata-kata yang ligat berkejaran dalam kepala ini tidak boleh dijinakkan. 

Tahun ini berpeluang untuk berjumpa Muhammad Haji Salleh. Ku membesar dengan karya beliau. Mula menaruh cinta pada dunia ekspresiasi kata-kata ini sejak di bangku sekolah lagi. Karya beliau yang tua "Aksara Usia" itu adalah yang pertama ku baca dan terus ligat mencapai pen untuk ditanda atau diterjemahkan maknanya. Diselangi dengan karya-kara tempatan lain juga dari seberang. Siapa sangka pada tahun 2017 ini berpeluang untuk berborak kecil sama Pak Sapardi Djoko. Sosok tubuh yang kian mengecil itu dibayangi dengan jasad arwah atuk. Masih gagak bertongkat, masih gagah bercerita, masih gagak berkongsi.

Sebelum kita semua berpindah ke negri abadi, alangkah indahnya pemergian kita jika dikenali sebagai seorang yang meninggalkan jejak. Walau halus bagaimana sekalipun, aku berazam untuk pergi sebagai seorang penulis yang pernah memegang hati-hati pencari fonetik ini. Pergilah berkarya anak muda. Jasad itu mungkin akan dibawa lalu angin tapi tulisan mu akan kekal abadi dengan izin Allah Azza Wa Jalla.

“Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.” -Praamoedya Ananta Toer