Wednesday, May 30, 2018

Keterbatasan

Salam Ramadhan, 

Sungguh, aku rasa masa dia tak berjalan laju, tapi berlari pantas. Bulan puasa ni aku tercari-cari mana lebihan waktu untuk digunakan. Aku hitung sebulan puasa kita hanya ada 4 kali weekends. Dan 4 kali itu lah mahu diagihkan pada berbuka bersama mak dan taraweh bersama. Bila pula mahu berbuka bersama abah? Ah, baru teringat kawan ada ajak berbuka bersama, bila?

Sungguh, masa itu berlari pantas seperti mahu menyegerakan bulan ibadah. Kita terkejar-kejar mengejar pahala yang berciciran dibawa masa. Dalam diam juga, kita masing-masing mahu menyegerakan puasa kerana tidak tahan. Jadi bagaimana? Diam tak diam sudah separuh bulan kita berpuasa tetapi aura puasa itu makin malam tahun demi tahun. Ntah, aku rasa begitu.

Jadi untuk aku kembalikan sinar Ramadhan, diberi rezeki untuk berkongsi bersama yang memerlukan. Sudah lama ingin lakukan aktiviti volunteer tetapi kekangan masa. Untuk kita turun padang meninjau sekeliling kota lewat pagi hari mencari mereka yang tubuhnya diselubungi embun pagi di balik dinding, itu perih. kotaraya lewat malam hari menginjak subuh penuh dengan cerita rupanya. Lagi banyak cerita yang mahu ditunjukkan berbanding sesaknya di petang hari. Cerita-cerita 'liar' yang diceritakan secara berbisik. 

Untuk mereka yang sudi berkongsi rezeki dalam keadaan kita sama-sama keterbatasan, itu satu amalan murni. Aku hanya lah penghantar rezeki oleh hati-hati murni yang mahu mengaut pahala. Hujung minggu ni sekali lagi kita bakal berkongsi bersama ayah-ayah dan ibu-ibu yang terpinggi. Raya makin dekat, mereka tiada tempat yang boleh digelar rumah. Apa definisi raya buat mereka?