Wednesday, September 19, 2018

Kiraan detik

Berapakah purata hidup seseorang? Kalau mengikut tradisi kaum Cina, umur 70 itu sudah dikira satu anugerah besar kerana tidak ramai yang lanjut usianya sehingga 70 tahun. Sebab itu lah sambutan hari jadi ke-70 dibuat secara besar-besaran dan kebiasaannya anak-anak, cucu-cucu akan bawa datuk nenek mereka ke China. Pada logik akal aku, mungkin untuk pulang ke kampung halaman walau untuk sebentar.

Persoalan ini dituju kerana tanggal 19 September adalah ulang tahun bonda tersayang. Kiraan umurnya? Jika matematik masih lancar, aku kira 56 tahun. 

56 tahun..
Sudah 5 dekad atau separuh abad mengaup udara di langit biru.
Mata itu sudah menyaksikan pelbagai cerita yang kekal pada garis-garis menua di mata
Namun, tubuh itu masih utuh tidak dimamah memori-memori lalu
Apa mungkin peristiwa kelmarin menguatkan tulang-temulang di balik isi rapuh itu?

56 tahun..
Adakah aku perlu mula mengira detik?
Seringkali diingatkan diri "dia masih kuat? apa perlu dikhuatirkan?" 
Mengira detik itu satu proses yang memeritkan jiwa dan juga mungkin kedengaran bodoh.
Memikirkan kehilangan yang bakal terjadi, itu sesuatu yang luar jangkaan emosi.

Detik masih berlalu, jam menunjukkan pukul 5:41 pm. Tinggal kurang enam jam sebelum hari bermakna ini berakhir. Tepat jam 12 magisnya akan hilang, tetapi rasa cinta dan sayang itu masih kekal.

Selamat ulang tahun Azlah Hasan, bonda tersayang. Usah kita kira detik yang tinggal kerana masih banyak cerita-cerita kosong yang perlu dibualkan.